arena

MCKK langkah kanan

Oleh Razif Rosli

KOLEJ Melayu Kuala Kangsar (MCKK) membuka tirai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK Premier 7s) 2018 dengan bergaya apabila membelasah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi dari Perlis 24-0, hari ini.

Pasukan tuan rumah memperoleh empat try masing-masing disempurnakan oleh Muhammad Syazani Suhaimi, Ferhan Aqil Feisal Edzman dan dua daripada Muhd Harith Shah Kaharuddin, selain mendapat dua conversion.

Kemenangan mudah itu memberikan MCKK mengutip tiga mata dan juara 2013 itu akan melengkapkan saingan Kumpulan C dengan menentang Australian International School (AIS) dan pendatang baharu kejohanan, Sekolah Menengah Sains Tunku Jaafar, esok.

Jurulatih MCKK, Mohd Romli Saad mengakui anak buahnya bergelut untuk menyesuaikan corak permainan daripada 15 sebelah kepada tujuh sebelah, namun akhirnya berjaya meraih tiga mata berharga.

“Permainan tujuh sebelah ini jangan ada berlaku kesilapan dan pemain jangan terlalu mudah berpuas hati walaupun mendahului lawan.

“Secara keseluruhan pemain bermain mengikut strategi yang dirancang walaupun pada separuh kedua rentak permainan agak perlahan. Jadi, saya harap kemenangan pertama ini mampu menjadi tonik kepada pemain menghadapi dua lagi aksi esok,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Mengulas mengenai kejohanan musim ini, Mohd Romli berkata, beliau menyasarkan anak buahnya akan mara ke final sekali gus merampas trofi NJ Ryan daripada Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Keputusan

Kumpulan A - MRSM Kuala Terengganu mn SMK Sheikh Othman Abdul Wahab (SHOAW) 14-10

Kumpulan B - SM Sains Sultan Mahmud (SESMA) mn SM Sultan Abdul Halim (SEMSAH) 28-10

Kumpulan C - Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mn Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi, 24-0

Kumpulan D - Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA) mn Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VIII (KEVII), 12-10

Kumpulan E - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V (KGV) mn Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1, 14-5

Kumpulan F - Maktab Tentera Diraja mn Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), 28-15

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 9:56pm
d