PENGGEMPUR Pahang, Francis Forkey Doe mungkin boleh dinobatkan sebagai antara 'penyerang import kitar semula' yang terbaik selepas berjaya meledak 100 gol dalam kancah bola sepak tempatan.
Dua gol yang dijaringkan ketika membantu skuad Tok Gajah membenam Selangor 3-1, pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu lalu menyaksikan dia kini sudah meledak 100 gol dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Jumlah tiga digit jaringan itu mampu dilakar penyerang berusia 32 tahun itu selepas beraksi mewakili enam pasukan dalam tempoh tujuh tahun, sejak mula beraksi dalam kancah tempatan bermula pada 2012.
Mula menyertai Terengganu pada 2012, penyerang kelahiran Liberia itu meledak 19 gol sebelum khidmatnya diintai Selangor pada musim 2013, dengan dia berjaya meledak 13 gol pada musim terbabit bersama skuad The Red Giants.
Doe nyata tidak pernah gagal untuk mendapatkan pasukan baharu apabila berjaya menyertai Kelantan pada 2014 dan meledak 13 gol sebelum menabur bakti bersama Negeri Sembilan, serta mengulangi pencapaian pada musim sulungnya apabila berjaya menjaringkan 19 gol.
Potensi sebenar Forkey Doe terserlah selepas mengetuai jentera serangan FELDA United yang menyaksikan dia berjaya meraih pencapaian terbaik semusimnya apabila meledak 23 gol, namun sedikit bergelut ketika kembali bersama Selangor pada 2017 apabila sekadar mencetak 10 gol.
Bagaimanapun, 'bisanya' dilihat kembali selepas diberi kepercayaan oleh pengendali Pahang, Dollah Salleh untuk mengemudi jentera serangan pada musim ini apabila dia sudah meledak tiga gol hanya dalam dua perlawanan Liga Super setakat ini.
"Meskipun baharu sahaja menyertai Pahang dan bergandingan bersama seorang lagi penyerang baharu (Patrick Cruz), namun saya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengannya. Persefahaman menjadi bertambah baik pada setiap perlawanan.
"Persefahaman dengan rakan sepasukan lain juga bertambah baik. Malah, saya turut menyasarkan menjadi penjaring terbanyak pada musim ini dan dengan bantuan daripada rakan sepasukan, saya optimis sasaran ini dapat direalisasikan.
"Bukan sahaja mahu muncul sebagai penjaring terbanyak tetapi saya juga bertekad untuk membantu Pahang meraih sekurang-kurangnya satu piala," katanya.
Info: Forkey Doe
Nama penuh: Francis Forkey Doe
Tarikh lahir: 25 Disember 1985
Usia: 32 tahun
Tempat lahir: Monrovia, Liberia
Tinggi: 173 sentimeter
Posisi: Penyerang
Pasukan terdahulu:
2002–2003 Tonnerre Yaoundé
2003 Buduburam FC
2004–2005 Minnesota Thunder
2005–2007 Atromitos 34
2007 New York Red Bulls
2008–2009 D.C. United
2009–2011 Al-Ahly
2012 Terengganu
2013 Selangor
2014 Kelantan
2015 Negeri Sembilan
2016 FELDA United
2017 Selangor
2018 Pahang