arena

Peng Soon-Liu Ying sedia gegar Terbuka Jerman

Oleh Fabian Peter

BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bersedia kembali ke tahap terbaik ketika mereka meletakkan sasaran tinggi pada Terbuka Jerman, di Muelheim.

Pemenang gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu, hanya akan turun beraksi esok apabila dijadualkan menentang pemain kelayakan, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia pada pusingan pertama.

Sebaik kembali bergandingan pada awal tahun ini, Peng Soon-Liu Ying menyambar gelaran Thailand Masters, dan kini mereka berharap untuk mencapai kemuncak prestasi di Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan.

"Saya boleh mengatakan buat masa ini, kami berada dalam keadaan terbaik dan kami mahu melakukan yang terbaik di sini (Terbuka Jerman)," kata Peng Soon yang dihubungi hari ini.

"Kombinasi semakin baik, jadi kami mahu terus memberikan yang terbaik dan melihat sejauh mana kami mampu pergi."

Walaupun sekadar beregu campuran nombor tiga negara ketika ini, namun Peng Soon-Liu Ying dipilih ke Gold Coast berbanding Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Harapan tinggi kini terletak di atas bahu mereka untuk menemui semula sentuhan terbaik untuk Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 11:24pm
d