arena

Ziyad tuai emas di Dubai

Oleh Mohd Khairie Khalid

MUHAMMAD Ziyad Zolkefli menerima hadiah hari jadi yang cukup istimewa apabila memenangi pingat emas acara lontar peluru lelaki kategori campuran F13/20/46 pada Kejohanan Olahraga Antarabangsa Fazza ke-10 - Grand Prix Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ziyad yang dilahirkan pada 15 Mac 1990 menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-28 semalam, melakukan lontaran sejauh 16.42 meter (m) pada percubaan kelima, hari ini.

Atlet yang beraksi dalam kategori F20 (masalah pembelajaran) sudah mengesahkan status selaku juara seawal lontaran pertama berjarak 16.30m dan sukar digugat pencabar lain, terutama pemenang pingat perak, Dimitrios Senikidis dari Greece dengan lontaran sejauh 15.27m.

Gangsa acara ini menjadi milik Butucea Vladimir dari Moldova dengan jarak 10.78m.

Sementara itu, Mohd Saifuddin Ishak turut membanggakan negara apabila memenangi pingat gangsa acara lompat jauh lelaki T12/13/46/47.

Mohd Saifuddin yang beraksi dalam kelas T12 (masalah penglihatan) melakukan lompatan sejauh 6.69m dan catatan itu diperoleh pada percubaan keempat.

Emas acara ini milik Salimov Islam dari Kazakhstan yang melakukan lompatan sejauh 6.93m, manakala perak diraih Hajimu Ashida dari Jepun (6.61m).

Disiarkan pada: March 16, 2018 @ 11:54pm
d