mutakhir

Tingkatkan kecergasan: KP Bomba

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PEGAWAI dan anggota bomba diminta meningkatkan kecergasan fizikal bagi menjaga kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata semua 13,342 pegawai dan anggota di seluruh negara perlu menjaga stamina masing-masing.

Katanya, anggota perlu cergas kerana mereka menggunakan pelbagai peralatan untuk menyelamatkan nyawa manusia dan memadamkan kebakaran.

“Bagi mengekalkan stamina anggota, kita menjalankan ujian kecergasan kepada semua pegawai dan anggota.

“Sebanyak 50 peratus daripada mereka lulus dalam ujian (kecergasan) itu dan 50 peratus lagi perlu meningkatkan kecergasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Ramah Mesra di Ibu Pejabat Balai Bomba Kelantan di Tunjong, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan lebih 70 peratus pegawai dan anggota bomba dapat meningkatkan kecergasan mereka.

Katanya, ia bagi mengelakkan anggota menghidap pelbagai penyakit, termasuk darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Sementara itu, beliau berkata, pemberian elaun khas sebanyak RM200 kepada anggota JBPM bermula 1 April ini mampu meningkatkan lagi perkhidmatan jabatan itu kepada masyarakat.

“Pemberian elaun itu sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada bomba yang berdepan pelbagai risiko ketika bertugas,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 1:39am
d