arena

Hyperich A wakil negara ke Brazil

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

HYPERICH A bakal mewakili Malaysia ke Grand Final Neymar Jr’s Five Julai depan selepas menewaskan pasukan 'adik' Hyperich B pada pentas akhir pusingan kebangsaan yang berlangsung di Universiti Sunway, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Ahmad Marzuqi Azizi muncul wira selepas menyempurnakan penentuan satu lawan satu selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa permainan sebenar.

Selepas dua bulan mempersiapkan pasukan, Hyperich A yang dianggotai Ahmad Marzuqi, Abdul Hakim Abd Rahman, K Naavin, S Devan, Kelvin Raj, A Kisshaen, M S Vighneshwaran menyifatkan segala usaha keras mereka akhirnya membuahkan hasil.

"Pada perlawanan akhir, kami menentang kawan sendiri. Jadi kami turun dan main seperti biasa. Siapa yang beraksi baik, pasukan itu yang mampu memenangi perlawanan. Kami gembira kerana bakal mewakili Malaysia ke pusingan akhir di Brazil," kata Abdul Hakim.

"Saya tidak boleh nafikan, walaupun lawan kawan sendiri, perasaan gementar tetap ada. Apa yang saya buat adalah main seperti biasa," kata Ahmad Marzuqi.

Sebanyak 16 pasukan beraksi di pusingan akhir selepas empat pusingan kelayakan yang berlangsung di Johor dan Kuala Lumpur, bulan lalu.

Pertandingan bola sepak lima sebelah itu membabitkan pemain berumur 18 hingga 25 tahun.

Penganjuran Neymar Jr’s Five dianjurkan di lebih 60 negara dan setiap juara kebangsaan bakal mewakili negara masing-masing ke pusingan Grand Final Institut Projeto Neymar Jr di Sao Paulo, Brazil.

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 3:38pm
d