mutakhir

Bas naik Genting hangus

Oleh Teoh Pei Ying

PEMANDU bas persiaran dua tingkat nyaris maut selepas kenderaan terbabit terbakar di Kilometer 10.9 Jalan Kuala Lumpur-Genting Highlands, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands Yusri Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.50 petang sebelum enam anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian, kami mendapati api sedang marak.

“Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadam sepenuhnya kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi.

Yusri berkata, pemandu bas, Saleemi Abdul Karim, 39, berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan itu.

“Berdasarkan keterangan daripada pemandu bas, kebakaran dipercayai berpunca daripada tayar belakang kenderaan itu.

“Ketika kejadian, bas terbabit dalam perjalanan mengambil penumpang dari Genting Highlands dan pemandu terbabit tidak cedera,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 5:29pm
d