mutakhir

Sallehuddin tidak gentar

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

MESKIPUN berdepan persaingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), calon Barisan Nasional (BN) Sallehuddin Mohd Iskan, tidak gentar.

Beliau yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak, giat berkempen bagi memenangi hati penduduk di kawasan ini.

Menggunakan slogan "Berilmu, Berbakti dan Berintegriti", anak jati kelahiran Panchang Bedena itu juga tidak kekok melayani ragam dan keletah masyarakat dari kanak-kanak sehinggalah warga emas.

Sallehuddin ketika ditemui pemberita berkata, beliau bersyukur dipilih sebagai calon dan tidak menyangka akan diterima baik penduduk setempat.

"Alhamdulillah, ramai antara mereka (penduduk) menyokong baik pencalonan saya di DUN ini.

"Tambahan pula, mereka mahukan pemimpin yang sentiasa turun padang, melihat dan mendengar masalah yang dialami," katanya ketika ditemui.

Sallehuddin berkata, sepanjang memegang jawatan sebagai Koordinator Pembangunan Persekutuan di DUN itu sepanjang dua tahun lalu, beliau melihat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian terutamanya isu perumahan mampu milik.

"InsyaAllah, sekiranya rakyat memberi mandat kepada BN, saya akan memperjuangkan perkara ini ke peringkat tertinggi agar nasib penduduk terus terbela," katanya.

Sallehudidin berkata, selain isu perumahan, isu pekebun kecil kelapa sawit turut mendapat perhatian dan perlu diberi bantuan berkala dari kerajaan seperti pesawah dan nelayan.

"Rata-rata mereka (pekebun) di sini mempunyai kebun seluas dua hingga tiga ekar sahaja. Malah, untuk mendapatkan hasil yang banyak, tanaman sedia ada perlu dibaja bagi mendapatkan hasil pengeluaran yang tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 8:04am
d