mutakhir

Padah 'dera' anjing

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

PEMANDU bas didenda RM500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana menyebabkan kesakitan atau penderitaan tidak wajar pada seekor anjing di Taman Mount Austin, di sini pada Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Goh Jin Fong, 50, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Sulehan Abd Rahman.

Mengikut kertas pendakwaan, Jin Fong didakwa melakukan sesuatu tindakan yang menyebabkan kesakitan atau penderitaan tidak wajar pada seekor anjing jenis Rottweiler.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Jin Fong di dalam sangkar di hadapan rumah di Taman Mount Austin, pada 9.50 pagi, 22 Ogos tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (semakan 2006) Akta 647 dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) serta dihukum di bawah Seksyen 44(1) akta yang sama.

Tertuduh kemudian merayu kepada mahkamah untuk meringankan hukuman denda memandangkan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan dirinya.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh mengambil semula anjing peliharaannya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Veterinar kerana mempertimbangkan bahawa tertuduh sudah mengaku dirinya menggunakan cara yang salah untuk melatih anjingnya serta tidak akan berbuat demikian lagi.

Difahamkan, anjing milik Jin Fong mengalami kecederaan di bahagian leher akibat diikat dengan pemberat serta cara yang tidak dibenarkan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Veterinar, Mohd Faiz Ajis, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 11:37am
d