mutakhir

Kereta rosak, dinding pemisah blok runtuh

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

ENAM kereta rosak berikutan dinding pemisah blok di tempat letak kenderaan runtuh dalam kejadian di Pangsapuri Permai, Jalan Tropicana Selatan, PJU 3, Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 4.56 petang.

Katanya, seramai enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7 dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati dinding pemisah blok terbabit runtuh, dan menghempap enam kereta yang diletakkan di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, tiada mangsa cedera dalam kejadian itu.

Difahamkan, kejadian itu menyebabkan berlaku keretakan di tempat letak kenderaan terbabit dan laluan sekitarnya.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 8:22pm
d