global

12 cedera letupan luar lapangan terbang antarabangsa Kaherah

Oleh Reuters

SERAMAI 12 orang disahkan cedera dalam letupan sebuah kilang kimia di luar lapangan terbang antarabangsa Kaherah, semalam.

Agensi berita MENA yang memetik sumber pasukan keselamatan berkata, tahap kecederaan mangsa masih belum dapat dipastikan.

Terdahulu jurucakap tentera berkata, letupan membabitkan tangki minyak itu berlaku diakibatkan oleh tekanan suhu yang terlalu tinggi.

Kolonel Tamer al-Rifai berkata, kilang berkenaan dikenali sebagai Heliopolis Industri Kimia namun beliau tidak mendedahkan identiti pemilik premis terbabit.

Stesen televisyen tempatan melaporkan, sejumlah besar anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan situasi dipercayai berada dalam keadaan terkawal.

Kerajaan Mesir selama ini berdepan ancaman keselamatan, susulan pemberontakan militan Islam yang sering melancarkan serangan, khususnya di pedalaman Semenanjung Sinai.

Pihak tentera menjalankan operasi keselamatan di Semenanjung Sinai sejak Februari lalu.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 10:57am
d