mutakhir

Kaki budak tersepit pedal basikal

Kota Bharu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera di bahagian kaki kanan selepas kakinya tersepit pada pedal basikal dalam kejadian di Kampung Dalam Pusu, Peringat, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Mohd Razali Koseng, 7, terpaksa menahan sakit selama 15 minit sebelum dibantu petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tunjung Ayob Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.08 petang memaklumkan kaki seorang kanak-kanak tersepit pada pedal basikalnya.

Katanya, seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kaki kanan kanak-kanak itu tertusuk pada besi pedal

yang tidak mempunyai pelapik.

“Bahagian berkenaan yang tajam menyebabkan kaki kanak-kanak itu cedera.

“Kami melakukan bantuan khas untuk mengeluarkan kaki mangsa yang mengalami sedikit pendarahan.

“Dua minit kemudian, kakinya dapat dikeluarkan dan kanak-kanak itu dihantar ke klinik terdekat untuk rawatan,” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2015 @ 8:55am
d