arena

Lima gol petanda positif PKNS

Oleh Nazri Abu Bakar

KEJAYAAN PKNS FC meledak lima gol membelasah PDRM 5-2 pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia malam tadi menjadi petanda positif untuk melepasi halangan awal ke suku akhir.

Lima gol masing-masing menerusi Romel Morales (m-26), Daniel Ting (m-46), Faris Ramli (m-62), Rafael Ramazotti (m-73) dan bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali (m-90) nyata melegakan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal dalam menghadapi misi lebih getir selepas ini.

Malah baginya, jika jentera serangan dan tengah menggunakan sepenuhnya peluang di Stadium Hang Jebat, sudah pasti mereka mampu mencatat kemenangan lebih besar.

Rajagobal berkata, pemainnya harus menggunakan setiap peluang untuk menjaringkan gol dan berharap anak buahnya kembali bertindak cemerlang menentang Melaka United di gelanggang sama, Sabtu ini.

“Di sebalik jaringan besar itu, kami amat bimbang dengan kealpaan benteng pertahanan membenarkan dua gol PDRM. Malah mereka hampir menambah gol ketiga pada hujung babak kedua susulan pertahanan longgar,” katanya.

Justeru, beliau mahu anak buahnya lebih fokus ketika mempertahankan kubu pasukan, selain mengelak mudah hilang bola apabila ditekan barisan tengah dan penyerang lawan.

Kemenangan besar itu membolehkan PKNS mendahului Kumpulan B selepas FELDA United dan Melaka sekadar seri 0-0 di Jengka, Pahang.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 3:03pm
d