arena

'Naik juga ranking Harimau Malaya'

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Skuad kebangsaan akhirnya menunjukkan petanda positif selepas melonjak dua anak tangga ke-169 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perkembangan itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi akaun rasminya, hari ini.

Ini adalah kali pertama Malaysia berjaya meningkatkan ranking selepas lama ‘tersangkut’ pada kedudukan ke-171 sejak Mei lalu.

Kejayaan mendaki dua anak tangga ini adalah susulan kemenangan 4-1 yang dilakar anak buah Tan Cheng Hoe itu ke atas Sri Lanka pada 12 Oktober sebelum tewas tipis 0-1 di tangan pasukan di ranking ke-91 dunia, Republik Kyrgyz pada 16 Oktober.

Sementara itu, Iran muncul sebagai pasukan terbaik di benua Asia apabila menaiki tiga anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-30 dunia diikuti Australia (42), Jepun (50) dan Korea Selatan (53).

Bagi ranking negara Asia Tenggara (ASEAN), Vietnam kekal pasukan terbaik di ASEAN apabila berada pada kedudukan ke-102, diikuti Filipina (116) dan Thailand (121).

 

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 7:42pm
d