mutakhir

'Macam ini kamu sambut hari lahir ya... '

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

MENGAMBIL dadah sempena sambutan hari lahir rakan. Itu tindakan sebahagian besar daripada 25 individu yang ditahan kerana menyertai ‘parti liar’ di sebuah kondominium di Bukit Mertajam, hari ini.

Pada kejadian 7.30 pagi itu, suspek, sembilan perempuan dan 16 lelaki yang, berusia antara 17 hingga 33 tahun, dengan tiga daripadanya adalah bawah umur.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, pihaknya menyerbu kondominium itu selepas mendapat maklumat daripada jiran yang memaklumkan aktiviti mencurigakan di situ.

“Kita dapati 21 daripada mereka positif methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

“Mereka kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bagi siasatan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek didapati menyewa unit kondominium terbabit bagi digunakan sebagai lokasi penganjuran pesta liar.

Bagaimanapun, polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 9:04pm
d