arena

PKBM mahu anjur JM 2019

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bercadang untuk menganjurkan perlumbaan tertua di Asia, Jelajah Malaysia (JM) pada 2019 selepas tidak dianjurkan pada tahun ini.

Persetujuan itu dicapai pada mesyuarat ahli jawatankuasa eksekutif (EXCO) PKBM beberapa hari lalu dengan badan induk berkenaan akan cuba mendapatkan penajaan serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi melaksanakannya.

“Perlumbaan JM antara yang PKBM senaraikan dalam program tahun depan. Kita akan cuba menarik penaja selain bantuan daripada KBS menerusi MSN dan sebagainya,” jelas Setiausaha Agung PKBM, Ibrahim Mustapa.

JM tidak dianjurkan pada tahun ini selepas syarikat Titan Empire Event Management (TEEM) menarik diri dengan perlumbaan sepatutnya berlangsung bulan lalu.

Malah ia dibayangi dengan isu hutang yang ditinggalkan penganjur edisi 2017 membabitkan bayaran kepada PKBM dan wang kemenangan pasukan.

Bagaimanapun Ibrahim menjelaskan, pihaknya tetap terbuka sekiranya terdapat pihak swasta berminat menganjurkan perlumbaan pada tahun depan namun menegaskan syarat yang ketat akan dikenakan bagi mengelakkan perkara yang sama berulang sekali gus memberi kesan buruk kepada imej negara.

“Adalah sesuatu yang merugikan jika ia berterusan tidak dianjurkan. Jadi sekiranya PKBM yang bertindak sebagai penganjur, ia akan dilakukan dengan perbelanjaan yang minimum membabitkan laluan, hotel dan sebagainya. Paling utama adalah mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan yang mampu mengurangkan kos,” jelasnya.

JM mula diperkenalkan pada 1963 dengan objektif untuk membuka peluang kepada pelumba tempatan mempamerkan kebolehan dan kemampuan bersaing dengan pelumba luar negara.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 5:56pm
d