mutakhir

Banjir Alor Gajah mulai surut

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

PUSAT pemindahan sementara Balai Raya Taman Seri Bayu 1, Alor Gajah, ditutup 12.30 tengah hari ini susulan banjir di sekitar kawasan terbabit mulai surut.

Sekretariat Pengerusi Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, PPS berkenaan ditutup sepenuhnya selepas beroperasi sejak jam 9 malam, Rabu lalu.

“Balai raya ini menempatkan 17 mangsa daripada empat keluarga malam tadi, sebelum ditutup tengah hari ini susulan semua mangsa terjejas banjir sudah pulang ke kediaman masing-masing.

“Bagaimanapun, pihak sekretariat sentiasa bersedia dan bersiap siaga melakukan pemantauan paras air sungai bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya, ketika dihubungi NSTP, di Alor Gajah, hari ini.

Banjir kali ini adalah yang kedua selepas 19 November lalu membabitkan bandar ini dan beberapa kampung di sekitar Durian Tunggal, dekat sini.

Dalam kejadian itu, lebih 1,000 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke tujuh PPS termasuk di daerah Melaka Tengah dengan kampung paling teruk terjejas ialah Kampung Belimbing Dalam di Durian Tunggal.

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 5:49pm
d