mutakhir

Nafi perkosa gadis bawah umur [METROTV]

Oleh Fairuz Zaidan

PENGAWAL keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur, awal Mei lalu.

Tertuduh, Mohd Faizul Abdullah Hadi, 22, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun lapan bulan di sebuah hotel di Jalan Kerambit 5, Kampung Baharu Sungai Udang, jam 7.45 pagi pada 7 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban memohon mahkamah tidak memberikan ikat jamin terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 22 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 1:10pm
d