mutakhir

Berpantang maut sebelum ajal

Oleh Rosli Ilham

SEORANG jururawat yang mengandung enam bulan terselamat daripada maut selepas kereta dipandunya terbabas di Kilometer 102 Jalan Jerangau-Jabor, dekat Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, petang semalam.

Siti Aishah Che Harun, 29, yang bertugas di Klinik Kesihatan Air Putih, Kemaman, cedera di bahagian dalaman badan dan dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Kemalangan kira-kira jam 2 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Viva yang dipandu mangsa dipercayai terbabas dalam hujan lebat sebelum melanggar tebing bukit di situ.

Akibat kemalangan itu mangsa dikatakan tercampak dan tersepit di tempat duduk bahagian belakang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar AMBS, Jaswari Awang berkata, sepasukan enam anggota dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kejadian.

“Pasukan bomba terpaksa berhati-hati mengeluarkan mangsa yang tersepit kerana bimbang menjejaskan kandungan mangsa.

"Mangsa yang berjaya dikeluarkan daripada kenderaan itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun dengan sebuah ambulans," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau turut menasihati orang ramai terutama pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu terutama dalam keadaan hujan dan jalan licin.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 1:08am
d