global

Pertempuran sengit di timur Syria

Oleh AFP

HASAKEH: Tentera pakatan yang disokong Amerika Syarikat (AS) bertempur sengit, semalam bagi menawan baki kawasan terakhir yang dikuasai kumpulan militan Daish di timur Syria.

Pada 2014, kumpulan berkenaan menawan sebahagian besar Syria dan negara jiran Iraq tetapi serangan balas tentera kerajaan yang disokong AS berjaya mengecilkan kawasan dikuasai militan berkenaan.

Angkatan Demokratik Syria (SDF) yang disokong tentera pakatan diterajui AS, mengumumkan operasi terakhir untuk menawan kawasan militan terbabit, lewat kelmarin, selepas menghentikan pertempuran lebih seminggu bagi membolehkan penduduk awam melarikan diri.

Seorang komander lapangan SDF berkata, pertempuran sedang berlangsung pagi semalam.

“Pertempuran sengit sedang berlaku ketika ini. Kami sudah melancarkan serangan dan pejuang semakin mara,” katanya.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, banyak pesawat pakatan dan meriam artileri digunakan untuk mengebom kedudukan pengganas.

“Pertempuran sedang berjalan. Ada pertempuran sengit, pagi tadi dan ada juga periuk api meletup,” kata ketua badan pemerhati dari Britain itu, Rami Abdel Rahman.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 1:58am
d