mutakhir

Azli 'panjang' tarik perhatian

Oleh Ramli Ibrahim

KEHADIRAN lelaki yang mempunyai ketinggian luar biasa mencuri perhatian pengunjung di Program Pemimpin Turun Padang di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh 3, Gua Musang, semalam.

Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, 25, yang mempunyai ketinggian 220 sentimeter yang tinggal di RKT tidak berhenti melayan orang ramai untuk bergambar dengannya sebagai kenangan.

Dia yang pernah menerima sijil daripada Malaysia Book Of Records turut bergambar kenangan bersama Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Datuk Sazmi Miah.

Mohd Azli Hisyam mengakui dia sentiasa menjadi perhatian sejak di sekolah lagi kerana memiliki ketinggian luar biasa berbanding remaja lain.

Katanya, dia turut dipanggil ‘panjang’ dalam kalangan rakannya.

“Saya tidak boleh beli pakaian kerana tiada saiz, jadi saya terpaksa menempah dengan tukang jahit.

“Semua kehidupan memang tidak sama dengan orang termasuk katil juga dibina lebih panjang sedikit jika tidak sukar untuk tidur.

“Apapun saya tetap bersyukur kerana dilahirkan dalam keadaan normal walaupun hanya ketinggian luar biasa sikit,” katanya.

Anak kedua daripada lapan beradik itu berkata, pada Oktober tahun lalu dia menjalani pembedahan kepala bagi buang ketumbuhan.

“Saya masih menganggur dan hanya membantu bapa berniaga di kedai makan di RKT KESEDAR Paloh ini dan akan cuba mencari pekerjaan selepas ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 10:51am
d