mutakhir

Penumpang terjatuh dari feri [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

SEORANG penumpang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari sebuah feri ketika dalam perjalanan menghala ke arah Butterworth, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, penumpang yang masih belum dikenal pasti identitinya dikatakan terjatuh di 0.8 batu nautika Barat Laut berhampiran terminal feri.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) jam 11 pagi berhubung insiden itu.

“Kita dimaklumkan terdapat seorang penumpang dipercayai terjatuh ke dalam laut oleh Maritim Malaysia yang meminta bomba turut menghulurkan bantuan.

“Feri berkenaan dikatakan berlepas dari Terminal Pangkalan Raja Uda ke Terminal Pangkalan Sultan Abdul Halim,” katanya dalam kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kini digerakkan oleh polis, Maritim Malaysia dan bomba.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 12:37pm
d