mutakhir

'Kamen Rider Black' berpanas di majlis kahwin

Oleh Nor Amalina Alias

PANAS terik tidak menghalang adiwira ‘Kamen Rider Black’ menceriakan orang ramai dalam satu majlis perkahwinan di Kampung Gajah Mati, Semerak, Pasir Puteh di Kelantan.

Meskipun terpaksa memakai empat lapis pakaian seberat lebih dua kilogram bersama aksesori, Mohd Farid Mohd Lawi, 33, menggagahkan diri melakukannya demi mencari rezeki halal buat keluarga.

Menurutnya, biarpun berdepan cuaca panas, dia tetap menerima jemputan untuk menghiburkan orang ramai dalam majlis perkahwinan itu untuk menjana pendapatan melalui kerjaya sebagai maskot adiwira.

“Sebagai langkah berjaga-jaga dari serangan strok haba, saya elakkan berada di tengah panas, minum air masak dua kali ganda lebih daripada biasa dan tidur secukupnya.

“Saya perlu menahan panas antara empat hingga 12 jam bagi menjalankan tanggungjawab menceriakan majlis keraian dengan bayaran dikenakan mengikut lokasi majlis.

“Selain itu, saya juga akan buka topeng muka setiap 15 minit sekali bagi elakkan bahang,” katanya ketika ditemui di majlis perkahwinan itu, hari ini.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia mula mengambil upah sebagai maskot Kamen Rider Black dan Kamen Rider Agito sejak September tahun lalu.

“Kerana terlalu minat dengan adiwira Kamen Rider sejak kecil, saya beli dua kostum itu dengan harga RM3,000 secara atas talian.

“Pada masa sama ia dapat menambah pendapatan sebagai jurujual minuman di kampung di Besut, Terengganu.

“Alhamdulillah sejak mengambil upah menjadi maskot adiwira ini, saya mendapat sambutan menggalakkan untuk majlis perkahwinan dan sambutan hari lahir,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 8:27pm
d