mutakhir

Lelaki maut kereta terbabas

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

LELAKI maut selepas kereta dipandu terbabas dan dirempuh kenderaan lain di Kilometer 224.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Pedas-Linggi di Rembau, hari ini.

Dalam kejadian 5 pagi, mangsa Lim Chun Kiat, 38, yang beralamat di Taman Rasah Jaya, Seremban, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, mangsa memandu Toyota Vios berseorangan dalam perjalanan dari Ayer Keroh menuju ke Senawang.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan sebelum datang kereta BMW di laluan sama dan merempuhnya.

“Akibat rempuhan itu, mangsa parah di kepala serta badan dan maut di lokasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Anuar Bakri, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Rembau dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan 5.09 pagi.

Katanya, jentera tiba 5.40 pagi dan menjalankan operasi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 9:09am
d