arena

Skuad Kim Swee sasar final Sukan SEA

Oleh Firdaus Hashim

SKUAD bawah 23 (B-23) tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee berpeluang untuk menebus kehampaan di kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 apabila disasarkan untuk mara ke final acara bola sepak Sukan SEA Filipina, November ini.

Sasaran itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 semalam sekali gus cuba menamatkan kemarau pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada temasya di Indonesia, 2011 lalu.

Jelas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal, Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan itu cukup realistik berdasarkan kepada prestasi baik pasukan sepanjang pusingan kelayakan AFC terutamanya dengan kemampuan mengikat gergasi Asia, China 2-2 baru-baru ini.

"Saya juga sebagai pengurus B-23 sasaran di Sukan SEA adalah mara ke final. Ia ada dibincangkan (mesyuarat eksekutif FAM) dan itu sasaran di Manila nanti," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di Bayan Lepas, hari ini.

Ditanya mengenai peranan FAM dalam memastikan kelancaran persiapan pasukan tidak terganggu dalam mendapatkan pelepasan pemain daripada kelab masing-masing, Subahan percaya Kim Swee sudah mempunyai perancangan untuk itu.

"Sudah pasti FAM akan buat yang terbaik. Kalau boleh kita memang akan cuba beri lebih mas untuk beliau (Kim Swee), tapi itu bukan masalah.

"Pemain sudah buktikan walaupun dalam jangka masa 10 ke 14 hari saja, pasukan dapat mempersembahkan permainan terbaik kerana jati diri pemain cukup tinggi," katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 10:41pm
d