mutakhir

Permohonan panggil semula saksi pakar ditolak

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

MAHKAMAH Koroner Shah Alam menolak permohonan pegawai pengendali inkues untuk memanggil semula dua saksi pakar bagi memberi keterangan berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim, Disember tahun lalu.

Koroner Rofiah Mohamad memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan keterangan saksi-saksi yang dibentangkan di hadapannya.

Dua saksi pakar yang dicadang untuk dipanggil semula ialah saksi ke-24, Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan saksi ke-27, Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata, sekiranya dua saksi itu dipanggil semula, ia hanya untuk mengukuhkan dapatan sebelum ini dan saksi ke-29 (bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid) juga terpaksa dipanggil semula.

Katanya, saksi ke-29 juga mungkin akan menjalankan eksperimen baharu bagi membantah eksperimen yang dijalankan saksi ke-24 dan 27.

“Ini akan berterusan dan tiada penamat sedangkan koroner ada tanggungjawab untuk selesaikan inkues dalam tempoh munasabah," katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 2:17pm
d