mutakhir

Padah lakukan kekerasan pada isteri

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

BURUH dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Jilperi Ali, 38, dari Kuala Nerus mengaku bersalah mengikut Seksyen 352A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya, Wan Suziana Mohamad, 33, di hadapan rumah di Jalan Kubang Badak, Kuala Nerus, 8.40 malam pada 28 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman sehingga enam bulan penjara atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 17 Mac lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang suami melakukan kekerasan jenayah terhadap isterinya selepas bengang wanita itu tidak mahu mendengar kata apabila masih berdegil keluar membeli barang anak-anak mereka.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 2:52pm
d