bisnes

Pusat sehenti penuhi keperluan pelanggan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PETALING JAYA: Konica Minolta Business Solutions (M) Sdn Bhd (Konica Minolta) komited mengukuhkan kedudukannya di negara ini sebagai pembekal penyelesaian perniagaan berasaskan Internet Kebendaan (IoT).

Pengarah Urusannya, Koji Yoshida berkata, pihaknya telah memperkenalkan pusat pengalaman Konica Minolta yang menampilkan pelbagai siri produk penyelesaian pejabat, IoT dan berteraskan teknologi maklumat terkini.

Katanya, kebanyakan produk yang dihasilkan oleh Konica Minolta dikilangkan di Pusat Industri Pintar (SIC), Taman Perindustrian Bukit Rambai, Melaka.

“Sejak 38 tahun berada di Malaysia, kami sentiasa peka dengan keperluan pelanggan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Kami percaya penyelesaian perniagaan Konica Minolta Malaysia bakal memberi potensi pasaran lebih besar dan memacu transformasi digital syarikat di negara ini,” katanya pada sidang media selepas memperkenalkan pusat pengalaman Konica Minolta.

Yoshida berkata, pihaknya turut memperkenalkan barisan produk baharu, Bizhub I Siri khas untuk PKS.

Menurutnya, Bizhub I Siri ini membabitkan produk seperti pencetak komersial dan penyelesaian pejabat berasaskan IT yang mengetengahkan ciri keselamatan terbaik.

Beliau berkata, Konica Minolta bersedia membantu PKS ke arah transformasi digital melalui pengenalan produk yang memenuhi keperluan mereka.

“Pusat baharu ini memberi pengalaman secara langsung kepada pelanggan untuk belajar dan merasai sendiri teknologi pintar yang dihasilkan oleh Konica Minolta terutama dalam penyelesaian pembuatan digital,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 7:41am
d