arena

B-15 negara cerah ke separuh akhir

Oleh BERNAMA

MALAYSIA berpeluang cerah layak ke separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Bawah 15 Tahun selepas mengejutkan Australia 3-0 pada saingan Kumpulan B di Chonburi, Thailand, hari ini.

Kemenangan ke atas bekas juara dua kali itu menyaksikan Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan untuk mengungguli carta kumpulan dengan maksimum sembilan mata.

Pada perlawanan di Stadium Pendidikan Jasmani itu, Malaysia mencalar rekod bersih Australia apabila Daniel Edzuan Anuar menjaringkan gol pertama seawal minit ketiga menerusi sepakan penalti sebelum Nabil Qayyum Zainuddin menghasilkan gol kedua pada minit ke-28.

Pada babak kedua, Izrin Ibrahim mengukuhkan kedudukan Malaysia selepas menyumbat gol ketiga pada minit ke-70.

Malaysia sebelum ini membelasah Brunei 8-0 dan menang 2-0 ke atas Kemboja.

Malaysia akan menentang Laos, Sabtu ini sebelum melengkapkan perlawanan kumpulan dengan menentang tuan rumah, Thailand, Isnin ini.

“Kami berhak untuk memenangi perlawanan ke atas Australia memandangkan keazaman dan semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain yang sentiasa memberi tekanan kepada pasukan lawan,” kata ketua jurulatih P Maniam.

Malaysia muncul juara pada 2013 di Myanmar selepas mengalahkan Indonesia 3-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 pada final.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 10:53pm
d