arena

KLHA sah hantar pasukan ke LHM

Oleh Saiful Affendy Sapran

PERSATUAN Hoki Kuala Lumpur (KLHA) sah akan menghantar pasukan untuk beraksi di saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan.

Presiden KLHA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pasukan yang akan dibentuk itu bakal menggunakan kepakaran kelab hoki Australia, Victoria Hockey.

Keputusan itu dilakukan sejurus beliau pulang daripada lawatan selama lima hari ke Australia untuk melihat lebih dekat aspek pembangunan dan sistem latihan kelab di sana.

"Pasukan itu nanti mungkin akan membawa enam pemain import dari Australia atau dari beberapa negara lain.

"Saya bercadang untuk menghantar dua pasukan tetapi ia bergantung kepada peruntukan.

Ketika ini saya sedang mengemaskini bajet. Seandainya peruntukan agak terhad, maka kami memang sah akan menghantar satu pasukan," katanya.

Jelas Megat, pengumuman lanjut berhubung perkara itu akan dilakukan pada hujung tahun ini.

"Ini adalah antara pembaharuan baru yang akan dilakukan oleh kami bagi mengembalikan semula kegemilangan pasukan Kuala Lumpur," katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 9:29pm
d