arena

Terengganu impi laksana pakaian atlet patuh syariah

Oleh BERNAMA

KERAJAAN negeri Terengganu sedang merangka satu garis panduan pemakaian patuh syariah bagi atlet.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, garis panduan itu bukan sahaja melibatkan aspek pemakaian tetapi perkara lain seperti pergaulan.

Kerajaan negeri sedang mengambil kira pandangan semua pihak termasuk persatuan sukan, ahli akademik dan mufti negeri berhubung perkara itu dan tidak mahu terburu-buru melaksanakannya.

"Apabila kita dapat sediakan pakaian betul-betul patuh syariah, barulah kita akan wajibkan mereka pakai mengikut peraturan yang bakal kita kuatkuasakan nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Syariah Sukan di sini, hari ini.

Beliau berkata buat masa ini semua atlet dibenarkan memakai pakaian sukan seperti biasa.

Sementara itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan kegeri terpaksa mengambil pendirian tegas dengan menarik diri dalam beberapa jenis sukan yang bercanggah sepenuhnya dengan syariat Islam seperti gimrama dan gimnastik wanita yang beliau dakwa menuntut atlet mempamerkan tubuh badan dan aksi ghairah terhadap penonton.

"Sukan ini (gimnastik dan gimrama) kita tidak boleh kompromi kerana ia menonjolkan aksi mengghairahkan kecuali jika hanya untuk tontonan wanita baharulah dibolehkan. Bagaimanapun, ia pastinya bercanggah dengan peraturan ditetapkan badan induk antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menyambut baik mana-mana pereka fesyen yang ingin menyumbangkan cadangan atau idea dalam menghasilkan pakaian sukan benar-benar patuh syariah.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 7:10pm
d