mutakhir

25 sekolah Putrajaya tutup esok [METROTV]

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

SEBANYAK 25 sekolah di Putrajaya ditutup, esok susulan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah bacaan melebihi 200 mulai, 5 petang hari ini.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad menerusi kenyataan ringkas.

"Berdasarkan bacaan IPU yang telah melebihi 200 mulai 5 petang hari ini, adalah dimaklumkan bahawa semua sekolah Putrajaya akan ditutup pada hari esok, 17 September," katanya.

Jumlah 25 sekolah yang ditutup esok membabitkan 11 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 14 Sekolah Kebangsaan (SK) di sini.

Terdahulu, Timbalan Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dr Roslan Hussin dipetik berkata, sesi persekolahan bagi 25 sekolah di Putrajaya akan ditangguhkan jika IPU mencecah bacaan melebihi 200 iaitu sangat tidak sihat.

Sehingga 7 malam tadi, empat stesen di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat.

Berdasarkan bacaan yang dipaparkan laman Web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU di stesen Johan Setia, Selangor merekodkan 229, Putrajaya pada paras 205 manakala di Sarawak iaitu Kuching (226) dan Sri Aman (207).

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 7:38pm
d