mutakhir

Mati tertiarap, dua tangan diikat

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

WANITA warga emas ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan tangan diikat dalam kejadian di Pangsapuri PKNS di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, hari ini.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa yang berusia 85 tahun ditemui anak keduanya ketika pulang dari tempat kerja.

Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, anaknya yang berusia 61 tahun tinggal bersama wanita berkenaan sejak 10 tahun lalu selepas bapanya meninggal dunia.

“Ketika kejadian kami semua tidak terdengar sebarang jeritan di rumah berkenaan, namun kami dimaklumkan anaknya mengatakan ibunya sudah meninggal dunia.

“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan kedua-dua tangannya terikat di dalam bilik tidurnya,” katanya.

Menurutnya, keadaan di rumah berkenaan dalam keadaan berselerak dipercayai dilakukan suspek.

“Namun menurut anaknya setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada terdapat barang berharga hilang atau tidak.

“Kali terakhir saya melihat mangsa semalam ketika dia menyapu sampah di hadapan rumah memandangkan rumah kami berada di tingkat paling bawah,” katanya.

Sementara itu, sumber polis berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Beliau berkata, setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 10:55pm
d