WM

Pesona keunikan kumbang

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

FESYEN itu bersifat bebas yang membolehkan seseorang pereka itu melakarkan ilhamnya melalui setiap inci rekaan dalam sepasang busana.

Kelainan yang dibawa dua beradik Elly Nur Suhaili Sufri dan Illi Nurliyana ke pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019 (KLFW 2019) yang berlangsung penghujung bulan lalu menimbulkan keterujaan pada setiap mata yang memandang.

Memilih konsep aneh dan unik dalam koleksi terbaru Ghaania dengan menggunakan kumbang sebagai pesona utama koleksi menjadikan ia sesuatu yang di luar jangkaan.

Menurut Elly Nur Suhaili, kumbang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri berbanding serangga lain.

“Ia mempunyai pesona kemegahan, misteri dan aneh yang dilakar dalam setiap rekaan busana menjadikan ia sesuatu yang istimewa.

“Kami menampilkan 18 rekaan berbeza untuk wanita juga lelaki dengan pemilihan pelbagai rona terutama rona terang yang menonjolkan lagi keunikan koleksi,” katanya.

Tambahnya, dia juga menggunakan pelbagai jenis fabrik yang berbeza untuk melengkapkan koleksi kali ini.

“Bagi saya, koleksi kali ini sungguh istimewa kerana menampilkan kelainan rekaan yang dibawa berbanding koleksi sebelumnya yang bersifat lembut.

“Lebih menarik, kami berpeluang bekerjasama dengan Studio Kittuco untuk kelengkapan aksesori bagi menyerlahkan impak wow peragaan,” ujarnya.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 5:10am
d