arena

Hujan tunda Kejuaraan Zozo

Oleh AFP

PUSINGAN kedua kejohanan sulung Jelajah PGA AS di Jepun, Kejuaraan Zozo ditangguh hari ini kerana hujan lebat dengan Tiger Woods dan Gary Woodland mendahului acara membabitkan 78 pemain itu.

Pegawai membuat keputusan setengah jam sebelum permulaan pada jam 7 pagi selepas hujan lebat semalaman membasahi lapangan dengan ramalan hingga 130 milimeter hujan turun dalam tempoh 24 jam akan datang di Accordia Golf Narashino Country Club, Inzai.

Pusingan kedua kini akan berlangsung esok dengan permulaan jam 6.30 pagi diikuti pusingan ketiga.

“Lapangan golf sudah digenangi air dan mencapai tahap tepu serta permainan tidak boleh dilangsungkan,” kata Gary Young, naib presiden peraturan dan pertandingan Jelajah PGA AS.

“Dengan hujan diramalkan turun 75mm hingga 130mm hari ini, kami memikirkan keputusan yang tepat adalah menangguhkan permainan.”

Pemain akan kekal dengan kelompok ‘threeball’ sama bagi pusingan ketiga, yang akan bermula sebaik selepas pusingan kedua ditamatkan dan berterusan hingga petang esok sekitar jam 5.30 petang.

“Dalam perancangan kami, ia membolehkan kami mempunyai kira-kira dua jam permainan golf untuk dilengkapkan pada pagi Ahad,” kata Young.

Juara Masters AS, Woods bermula buruk semalam sebelum bangkit dengan sembilan birdie dalam 15 lubang untuk berkongsi pendahulu dengan juara Terbuka AS, Woodland.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 11:41am
d