arena

Vinales ungguli latihan bebas Australia

Oleh AFP

MAVERICK Vinales mengatasi juara dunia Marc Marquez dengan mencatat masa terpantas ketika sesi latihan bebas bagi MotoGP Australia hari ini, ketika penunggang rookie Perancis, Fabio Quartararo terkeluar daripada sesi kedua selepas kemalangan.

Pelumba Monster Yamaha itu menang di Phillip Island tahun lalu – kemenangan tunggal pasukannya musim itu – dan dia kembali menemui prestasi terbaiknya pada sesi petang yang cerah selepas keadaan basah sebelah pagi mencetus huru-hara.

Vinales merakam masa terpantas 1:28.824, setengah saat di depan penunggang Ducati, Andrea Dovizioso dengan pelumba Honda, Cal Crutchlow, yang mengalami kecederaan buku lali teruk di litar itu setahun lalu, di tangga ketiga.

Marquez, yang menang di Jepun hujung minggu lalu, hanya mampu berada di tangga keenam, satu anak tangga di depan pelumba veteran Itali, Valentino Rossi, yang akan beraksi perlumbaan Grand Prix ke-400 Ahad ini.

Vinales bertukar ganti mencatat masa terpantas dengan Marquez pada sesi petang yang kering, namun menggunakan tayar ‘soft’ kedudukan pertama tidak dapat dicabar ketika rakan senegaranya dari Sepanyol cuba mengejar pada lewat sesi.

Ia persembahan dominan oleh Vinales, yang turut mengungguli catatan masa FP1, yang mana keadaan litar licin dan berbahaya susulan hujan pada sebelah pagi.

Ia ternyata menyulitkan buat penunggang rookie terbaik tahunan dari Petronas Yamaha SRT, Quartararo, yang diusung keluar dari litar selepas tergelincir.

Penunggang berusia 20 tahun itu, yang berakhir di tangga kedua di Motegi, tercampak daripada jenteranya di selekoh keenam dan ada kebimbangan dia mungkin retak buku lali kiri.

Ketika pasukannya menyatakan ujian imbasan x-ray menyaksikan pelumba itu tidak mengalami sebarang kecederaan, dia menjalani rawatan lanjut dan diketepikan bagi latihan kedua kerana mengambil ubat tahan sakit.

“Jika saya boleh menunggang baguslah,” kata Quartararo mengenai sesi kelayakan esok. “Jika tidak, kami tidak akan mengambil sebarang risiko.”

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 3:02pm
d