global

'Saya minta maaf, ibu' [VIDEO]

Oleh Agensi

LONDON: Seorang wanita Vietnam sempat menghantar pesanan kepada ibunya mengucapkan selamat tinggal kerana merasakan dia akan mati disebabkan tidak boleh bernafas, sebelum mayatnya ditemui bersama 39 pendatang lain di dalam kontena di England, baru-baru ini.

Pham Thi Tra My, 26, dilaporkan membayar £30,000 (RM161,000) untuk ‘perjalanan VIP’ ke United Kingdom (UK) dengan laluan kononnya dijamin selamat.

Pesanan terakhir dihantarnya pada jam 10.28 malam (waktu tempatan) pada Selasa lalu, iaitu dua jam sebelum trak berkenaan sampai ke UK dari Belgium.

“Saya minta maaf, ibu. Perjalanan ini tidak berjaya. Saya amat sayang ibu. Saya akan mati kerana tidak dapat bernafas,” katanya dalam pesanan itu.

Bapanya, Pham Van Thin memberitahu CNN: “Saya bukan saja hilang duit malah anak tersayang. Mereka (penyeludup manusia) berkata, laluan ini selamat. Jika saya tahu ini cara mereka mahu membawanya ke sana, pasti saya tidak mengizinkannya.”

Daily Mail melaporkan, pendatang berkenaan ditemui bogel atau hampir tidak berpakaian ketika mayat mereka ditemui dalam kontena itu di Purfleet, Essex, Rabu lalu.

Lapan wanita dan 31 lelaki itu dipercayai mengetuk dan menghentak pintu meminta tolong malah mayat ditemui dengan mulut berbuih.

Sementara itu, seorang pekerja hak asasi manusia di Vietnam berkata, Tra My pergi ke UK untuk membayar hutang keluarganya, malah mereka terpaksa menggadai janji rumah bagi mengumpulkan wang diperlukan untuk perjalanan itu.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 11:22pm
d