global

2,000 laman web Georgia digodam

Oleh AFP

TBILISI: Kira-kira 2,000 laman web di Georgia termasuk presiden, mahkamah dan media digodam dalam serangan siber besar-besaran, semalam.

Penggodam memaparkan gambar bekas presiden Mikheil Saakashvili dan bersertakan perkataan ‘saya akan kembali’, lapor agensi berita Interpress.

Jurucakap Presiden Salome Zurabishvili, Sopho Jajanashvili berkata, laman web pemimpin itu diserang penggodam tengahari semalam.

Interpress melaporkan beberapa laman web agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, agensi media dan mahkamah turut menjadi sasaran.

Serangan terbabit turut menjejaskan rangkaian komputer dua stesen televisyen utama Georgia iaitu Maestro dan Imedi TV.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata, insiden itu masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 12:51am
d