mutakhir

Terima kasih 'triple H'

Oleh Rosman Shamsudin

TINDAKAN tiga anggota polis trafik yang nama masing-masing bermula pangkal huruf H membantu kereta rosak di Slim River hari ini mencuri tumpuan orang ramai dan pengguna kenderaan.

Kejadian berlaku 1 tengah hari membabitkan wanita bersama dua anak yang mengalami kerosakan kenderaan di Kilometer 103 Jalan Persekutuan Kuala Lumpur - Ipoh.

Difahamkan, ketika kejadian, Koperal Hamzah Wahid, Koperal Hafizan Zakaria dan Lans Koperal Muhammad Hafiz Zulkifli dalam perjalanan menjalankan rutin harian penguat kuasaan trafik di jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, ketiga-tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim itu ternampak Proton Iswara rosak di tengah jalan.

“Bimbang keselamatan wanita itu bersama anaknya yang masih kecil, dua anggota polis trafik menolak kereta itu ke tepi jalan manakala seorang lagi anggota mengawal lalu lintas.

“Anggota terbabit juga menghubungi mekanik dari bengkel berhampiran untuk membantu wanita itu sebagai tanggungjawab sosial terhadap orang awam yang mengalami kesusahan terutama ketika berada di jalan raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, tindakan ketiga-tiga anggota polis itu kemudian mendapat perhatian dan pujian orang ramai yang lalu lalang di jalan berkenaan.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 6:44pm
d