utama

Bergilir guna inkubator

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“MEREKA seakan-akan berlumba mahu melahirkan ramai anak kerana yakin anak-anak itu akan menjadi pembela dan pejuang agama serta nasib mereka nanti,” kata pendakwah bebas, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang ketika menceritakan pengalamannya selama lima hari berada di Maarib, Yaman.

Beliau bersama rombongan menyertai Misi Bantuan Kebajikan Iman Care untuk Pelarian Perang di Yaman pada 21 hingga 26 Oktober lalu.

Beliau berkata, dia kagum dengan semangat dan keyakinan semua pelarian perang yang ditemui di empat kem pelarian di Maarib selain ke Hospital Kara yang menjadi tumpuan empat negeri di kawasan itu.

“Sepanjang berada di sana, saya boleh lihat semangat juang penduduk di sana dalam menangani pelbagai krisis politik dan peperangan. Mereka mempunyai jiwa yang kuat dan pergantungan mereka terhadap Allah sangat tinggi.

“Di sebalik kepayahan mereka mendiami kem pelarian yang serba kekurangan itu, mereka tetap meraikan kehadiran kami dengan sebaik mungkin malah sentiasa mempelawa kami bermalam dan makan di khemah mereka.

“Kedatangan kami di sana bukan sahaja untuk menyerahkan sumbangan yang berjaya dikumpulkan Iman Care, tetapi turut menjalankan tinjauan dan analisis mengenai keperluan lain pelarian di semua kem menjelang musim sejuk yang dijangka bermula akhir November ini,” katanya.

Katanya, bantuan bernilai RM24,800,60 diserahkan dalam bentuk makanan dan barangan keperluan lain yang diperlukan kumpulan pelarian terbabit.

“Lawatan kami di Hospital Kara, Maarib mendapati mereka memerlukan sekurang-kurangnya 40 inkubator bayi dan alat memeriksa serta analisis darah. Ketika ini, terdapat 12 inkubator termasuk dua yang pernah disumbangkan Iman Care dan ia tidak mencukupi bagi kegunaan bayi di hospital berkenaan.

“Sebanyak 12 inkubator yang ada tidak mencukupi berikutan kadar kelahiran bayi di Maarib dan kawasan sekitar sangat tinggi serta mengalami masalah terutama pelarian yang melahirkan anak di khemah di kem pelarian.

“Bayangkan bayi yang memerlukan inkubator kerana pelbagai masalah terpaksa menunggu giliran dan bergilir-gilir menggunakannya inkubator yang ada,” katanya.

Menurutnya, pihak Iman Care cuba mendapatkan sumbangan itu selain turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi tujuan berkenaan.

“Selain itu, seramai 711 keluarga yang ditemui juga memerlukan sumbangan lain seperti selimut tebal, kelengkapan bayi, kos penyediaan kursus kemahiran kepada pelarian, kos baik pulih kelas pengajian al-Quran dan kos projek tangki air bersih,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 6:40am
d