mutakhir

Pertandingan memancing ulang tahun MPJL

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

SEMPENA ulang tahun pertama, Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) akan mengadakan pertandingan juara joran@MP Jempol 2020 pada Sabtu 22 Februari ini.

Yang Dipertua MPJL, Raja Norazli Raja Nordin berkata, pertandingan akan diadakan di Taman Tasik Bahau, Jempol.

Bagaimanapun, beliau berkata, penyertaan hanya terhad kepada 300 peserta sahaja bagi memberi keselesaan kepada kaki pancing.

“Pertandingan akan bermula dari 8 pagi hingga 2 petang dan pemancing berjaya menaikkan ikan sembilang terberat akan diumumkan pemenang.

“Bagaimanapun jika terdapat berat ikan sama, masa ikan terpantas dinaikkan pemancing akan diambil kira,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, peserta dikenakan yuran pendaftaran RM50 bagi satu joran dan RM80 bagi dua joran.

Menurutnya, johan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, RM2,000 bagi naib johan serta RM1,000 bagi pemenang tempat ketiga.

“Selain juara joran, pelbagai program turut diadakan sempena ulang tahun pertama pengisytiharan MPJL pada tahun ini.

“Ia termasuk pertandingan foto MP Jempol, kembara muhibbah, forum perdana, karnival sukan rakyat dan ‘moh belaghi’,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 5:11pm
d