mutakhir

Ujian calitan ke rumah adalah 'scam' [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

TIDAK ada anggota kesihatan melakukan ujian calitan dari rumah ke rumah kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian mengulas gambar tular di media sosial mengenai individu mendakwa petugas kesihatan melakukan ujian calitan dari rumah ke rumah.

Individu itu dilihat ke rumah mangsa untuk melakukan ujian swab dengan menaiki sebuah van yang dilekatkan logo Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun tanpa kelengkapan perlindungan diri (PPE).

"KKM sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut.

"Apa yang berlaku adalah kes tipu. Pemeriksaan nombor pendaftaran van digunakan adalah palsu iaitu didaftarkan pada kenderaan Perodua Myvi.

"Saya harap rakyat jangan tertipu dengan perkara seperti ini. Jika didapati ada kes datang ke rumah mengaku anggota KKM tolong laporkan kepada polis dengan segera. Kita bimbang mereka mungkin nak merompak dan sebagainya," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Katanya, pelbagai taktik dilakukan pihak tidak bertanggungjawab menipu masyarakat.

"Sebelum ini tipu pembelian pelitup muka dan macam-macam penipuan berlaku. Ramai pihak ambil kesempatan dan saya berharap kita (semua) lebih berhati-hati" katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 4:12pm
    d