mutakhir

JAWI benar masjid, surau dibuka

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan masjid, surau Jumaat dan surau dibuka bagi menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah bermula esok.

Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata, kebenaran itu diberikan kepada semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kecuali di zon merah.

"Kebenaran ini adalah tertakluk kepada jumlah satu pertiga had kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau serta jemaah dalam kalangan warga Malaysia sahaja.

"JAWI ingin mengingatkan agar segala garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan perlu dipatuhi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, umat Islam diharap dapat memanfaatkan peluang dan kebenaran yang diberikan.

"Umat Islam perlu memanfaatkan dengan meningkatkan amalan serta berdoa agar penularan wabak Covid-19 dalam negara berakhir dengan segera," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 9:10pm
d