arena

TFC tunggu Faris

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain meletakkan harapan yang tinggi agar pemain sayap kelahiran Singapura, Muhammad Faris Ramli dapat segera kembali ke Terengganu bagi menjalani latihan bersama pasukan.

Beliau berkata, kem pasukan masih menanti proses kehadiran pemain import itu yang sedang diuruskan oleh pihak pengurusan.

Skuad Penyu kembali menjalani latihan pertama di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) di Gong Badak selepas tiga bulan 'berkurung' di rumah masing-masing bagi mematuhi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa pemulihan.

Namun peluang Faris untuk menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukannya dalam masa terdekat masih samar.

"Buat masa ini Faris masih berada di negaranya Singapura dan permohonan untuk memasuki Malaysia sedang diusahakan oleh pihak pengurusan.

"Sebagai jurulatih, saya fokus dengan barisan pemain yang ada tapi sudah tentu kami harap Faris dapat kembali secepat mungkin untuk menjalani latihan sebagai persiapan sebelum Liga Malaysia (Liga M) bermula," katanya.

Mengenai latihan pertama pasukannya semalam, Nafuzi

berkata beliau mengatur tiga sesi latihan untuk 27 pemainnya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Latihan dibahagikan kepada tiga sesi iaitu dua sesi sebelah pagi dan satu di sebelah petang.

"Apa yang saya harapkan pemain dapat memberi komitmen terbaik dan cepat menyesuaikan diri dengan norma latihan baharu untuk kita membuat persiapan sekiranya Liga Super dimulakan pada bila-bila masa," katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 7:32pm
d