mutakhir

Maut angkara kereta dan treler 'hantu'

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

CUBA mengelak kereta yang berhenti mengejut menyebabkan seorang pekerja kedai perkakas tercampak sebelum maut digilis treler.

Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, mangsa, Muhamad Hafizan Mohamad Noor, 26, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda maut di Kilometer 41, Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan, Tanjong Karang.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari Kapar menghala pulang ke rumahnya di Tanjong Karang.

"Setiba di lokasi, terdapat kereta yang tidak dapat dikenalpasti berhenti mengejut di hadapan motosikal mangsa.

"Mangsa kemudian mengelak ke kiri jalan sebelum hilang kawalan dan tercampak ke atas jalan di lorong kanan," katanya.

Ramli berkata, pada masa sama sebuah treler muncul dan menggilis mangsa.

Beliau berkata, treler terbabit tidak berhenti dan meneruskan perjalanan ke Kuala Selangor.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Ramli berkata, pihaknya sedang mengesan pemandu lori dan pemandu kereta terbabit.

Menurutnya, saksi yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman di talian 017-8028105.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 4:49pm
d