mutakhir

Malaysia kutuk serangan dron, peluru berpandu terhadap Arab Saudi

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya serangan dron dan peluru berpandu oleh pemberontak Houthi terhadap kerajaan Arab Saudi pada kelmarin.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini berkata, kesinambungan serangan yang sengaja dilakukan itu memperlihatkan provokasi oleh Houthi.

"Tindakan berkenaan akan memudaratkan keamanan dan kestabilan di wilayah terbabit," kata kenyataan itu.

Malaysia mengulangi seruan agar semua pihak bekerja secara konstruktif dalam usaha menghentikan permusuhan dan penyelesaian konflik melalui dialog serta diplomasi.

Semalam media antarabangsa melaporkan pasukan pertahanan udara Arab Saudi memintas dua peluru berpandu dan enam dron yang ditembak oleh puak pemberontak Houthi pada malam Ahad.

Jurucakap Gabungan Arab, Kolonel Turki Al-Maliki yang menyokong pemerintah sah Yaman mendakwa puak berkenaan melepaskan peluru berpandu dan dron ke arah sasaran awam di Arab Saudi.

Namun senjata berkenaan dapat dipintas dan dimusnahkan sebelum mencapai sasaran.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 11:25pm
d