mutakhir

Sindiket edar arak tanpa cukai ditumpaskan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran arak tanpa cukai dalam serbuan Operasi Benteng (Op Benteng) di Jalan Sri Tanjung Kampung Batu 5 Muar, Johor, semalam.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya membuat serbuan terhadap sebuah lori Nissan UD 12 tan dan sebuah kereta Proton Wira Aeroback di lokasi berkenaan pada 10.30 malam.

"Dalam serbuan itu, kami berjaya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 35 dan 40 tahun yang memandu kenderaan terbabit.

"Kami berjaya merampas 1,980 kotak bir tanpa cukai dengan setiap kotak mengandungi 24 tin bir 500 milimiter menjadikan jumlah keseluruhan rampasan arak sebanyak 47,520 tin.

"Turut dirampas adalah dua kenderaan terbabit serta wang tunai RM900 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM612,692," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya yakin dengan penahanan suspek terbabit berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran arak iaitu bir tanpa cukai di Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru, Johor.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

"Kami menyeru kerjasama orang ramai supaya dapat menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti menyalahi undang-undang kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 11:10pm
d