mutakhir

Empat tukang urut warga asing ditahan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

EMPAT wanita warga asing ditahan dalam serbuan ke atas pusat urut di sebuah pusat beli-belah Kota Damansara, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima maklumat premis berkenaan menyediakan khidmat tukang urut warga asing.

"Dalam serbuan 7.30 malam itu, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun dipercayai penjaga premis dan empat wanita warga asing berusia antara 25 hingga 40 tahun dipercayai pekerja.

"Polis turut merampas sekeping kertas catatan jadual kerja pekerja terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua pekerja warga asing itu direman 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, penjaga premis pula direman sehari untuk siasatan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji dan membenarkan warga asing yang tidak memiliki pas pekerjaan sah bekerja di premis.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 7:36pm
d