mutakhir

KD Paus usir bot nelayan Vietnam

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Kapal Diraja (KD) Paus, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan sebuah bot nelayan asing di perairan Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Bot nelayan asing berkenaan dikesan di kedudukan kira-kira 149 batu nautika perairan ini dan dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

Pegawai Memerintah KD Paus, Leftenan Komander Nor Hisham Rahman berkata, pemeriksaan mendapati terdapat 16 kru dan tekong warga Vietnam di atas bot berkenaan.

"Bot nelayan berkenaan kemudiannya diusir dan diberi amaran keras untuk tidak melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di Zon Maritim Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nor Hisham berkata, TLDM akan sentiasa berusaha untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim serta mengelak penularan penyakit Covid-19 oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan laut.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 9:16pm
d