mutakhir

Bekalan air semakin pulih

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Gangguan bekalan air di sebahagian kawasan di Seremban terutama di Rantau selain Port Dickson hampir pulih sepenuhnya selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi kembali beroperasi sejak jam 5 petang, semalam.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) Norzita Ismail berkata, setakat jam 1 tengah hari tadi, 99 peratus kawasan di Seremban dan 90 peratus kawasan di Port Dickson sudah menerima bekalan air.

"Walaupun keadaan sudah hampir pulih sepenuhnya namun Sains akan terus memantau kawasan yang masih belum mendapat bekalan air dan mengalami tekanan air rendah untuk diagihkan bekalan air melalui tangki statik dan lori tangki.

"Kami akan terus memastikan seluruh kawasan gangguan di Port Dickson mendapat bekalan air terawat selewat-lewatnya Rabu ini secara berperingkat bergantung kepada kerja-kerja di tapak oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS)," katanya.

Menurutnya, penduduk yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Sains di talian bebas tol 1800886982.

Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 3:17pm
d